27 Mac 2011

SEMINAR PEMERKASAAN 'AMILIN KEBAJIKAN PAS DAN PELANCARAN DANA KAMI PRIHATIN

26 Mac 2011-YB Tuan Haji Husin juga telah berkesempatan menghadiri Seminar Pemerkasaan A'milin Kebajikan PAS dan Pelancaran Dana Kami Prihatin yang telah diadakan di Hotel D'Palma, Ampang, Selangor.Seminar tersebut telah dirasmikan oleh Presiden PAS Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang.

Berikut ialah petikan artikel dari http://www.harakahdaily.net yang menjelaskan perlaksanaan program tersebut :

"Pimpinan PAS di semua peringkat perlu mengutamakan kebajikan rakyat atau mampu menyelesaikan masalah mereka seperti menyediakan kemudahan asas, bidang kerja, kesihatan dan pendidikan.


Sekiranya pimpinan PAS mampu melaksanakan keperluan masyarakat atau menjaga kebajikan mereka, pasti rakyat akan menyokong dan memberi mandat untuk memimpin negara.

Rakyat hari ini menagih dan dahagakan kebajikan manakala pemimpin yang dipilih hanya menjenguk mereka apabila tiba pilihan raya kecil atau pilihan raya umum.

Kebajikan merupakan tonggak penting dalam kehidupan. Malangnya, kerja kebajikan seolah-olah dijadikan kerja `bermusim' bukan tugasan yang perlu diutamakan.

Pemimpin yang mementingkan kebajikan mampu mengubah pemikiran rakyat ke satu tahap perubahan jauh daripada penyelewengan, rasuah dan penipuan.

Ketika pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz wilayah pentadbirannya berada dalam kemakmuran sehingga sukar untuk menemui rakyatnya yang berhak menerima zakat.

Beliau hidup penuh kesederhanaan sehingga mampu melaksanakan negara berkebajikan dengan mengembalikan harta-hartanya untuk kepentingan seluruh umat Islam.

Menyentuh tentang kebajikan, Pemangku Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, dalam PAS aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan sepatutnya menjadi aktiviti kemasyarakatan terpenting selepas dakwah dan tarbiyah.

Katanya, apabila kebajikan rakyat diutamakan ia akan memberi kemudahan kepada PAS untuk melaksanakan program dakwah dan tarbiyah.

Beliau berkata, selama ini kerja penerangan dan dakwah kepada rakyat sukar diterima kerana hati mereka tidak dekat dengan PAS.

"Kita kurang mendekati masyarakat, tidak mengamalkan konsep ziarah sedangkan ziarah dengan membawa hadiah itu adalah mengikat kasih sayang," katanya.

Beliau menyarankan kepada pimpinan di semua peringkat supaya melakukan kebajikan kepada golongan memerlukan walaupun dengan bantuan yang sedikit.

Jika dilihat kejayaan beberapa parti politik di luar negara seperti di Palestin parti Hamas; di Indonesia, Partai Keadilan Sejahtera telah dipilih oleh rakyat dalam Pilihan raya umum negara tersebut hanya kerana parti tersebut mengutamakan atau menjaga kebajikan rakyat.

Menurut beliau, salah satu cara mendidik diri untuk bersama masyarakat adalah dengan melakukan kerja-kerja kebajikan.

"Kita tidak akan pergi jauh selagi kita tidak menggerakkan jentera akar umbi serta pimpinan di semua peringkat dengan kerja-kerja kebajikan," tegasnya.

Bagi mencapai impian supaya konsep Negara Berkebajikan dapat dilaksanakan oleh PAS, katanya, Lajnah Kebajikan akan mengadakan Seminar Pemerkasaan Amilin Kebajikan PAS dan Pelancaran `Dana Prihatin'.

Menurut beliau, seminar tersebut bertujuan menyatukan gerak kerja para amilin kebajikan PAS dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak supaya menjadi lebih teratur dan tersusun.

Program selama dua hari satu malam bermula 25 hingga 26 Mac akan diadakan di hotel D' Palma, Ampang dan diwajibkan kepada Lajnah Kebajikan PAS Pusat; Lajnah Kebajikan Dewan-Dewan PAS Pusat; Lajnah kebajikan negeri-negeri; Lajnah Kebajikan Kawasan; Nisa' Dewan Himpunan Penyokong PAS; Jabatan Amal; Yayasan Amal, Ahli Parlimen serta Adun PAS dan kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat.

Seminar tersebut akan membuka laluan yang akan melonjakkan PAS ke satu tahap pencapaian lebih cemerlang bagi menunjukkan kepentingan aktiviti kebajian dan kemasyarakatan dalam menyampaikan dakwah serta menerangkan dasar PAS.

Justeru, Lajnah Kebajikan berharap para dermawan yang mahu mengeluarkan zakat individu boleh disalurkan terus kepada Kebajikan untuk memudahkan kerja-kerja membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.

Sumbangan boleh disalurkan ke dalam akaun DANA KAMI PRIHATIN BIMB 12113010026150 atau hubungi urusetia, Zainal Abidin Rahmat 012 - 3135471."

Seterusnya ialah beberapa keping gambar dari lensa kamera YB yang sempat dirakamkan sekitar program yang telah dihadiri :






Tiada ulasan: