05 Mac 2014

MoU: PAS ucap tahniah kepada Kelantan dan Selangor


     
 

KUALA LUMPUR: PAS merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan yang diketuai oleh Ustaz Datuk Ahmad Yakob di atas termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara dua kerajaan itu pada 2 Mac lalu.

"MoU ini yang secara khususnya adalah merujuk kepada beberapa inisiatif kerjasama ekonomi dan perundingan dalam beberapa projek yang mempunyai kepentingan bersama rakyat di kedua-dua negeri," ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PAS berpendapat bahawa MoU yang ditandatangani antara Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) adalah merupakan satu langkah permulaan yang sangat penting yang sedang diterokai antara kedua-dua kerajaan di bawah Pakatan Rakyat.

"Hal ini, menjadi lebih bermakna dalam kita menterjemahkan prinsip serta polisi bersama yang dipersetujui dalam Pakatan Rakyat dengan membangunkan model kerjasama sebelum berlangsungnya Konvensyen Pakatan Rakyat pada hujung minggu ini," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Katanya, kerjasama sebegini perlu terus diperkembangkan untuk memberdayakan rakyat dalam negeri ini dalam menghadapi kesan ekonomi yang semakin perit.

Ini, ujar beliau ditambah pula dengan kecelaruan fahaman dan pelaksanaan konsep federalisme yang sepatutnya diamalkan dengan adil oleh Kerajaan Pusat itu sendiri.